Isnin, Ogos 17, 2009

Dulu seorang, kini berdua

ARKIB : 27/10/2006

DETIK-DETIK pernikahan merupakan hari bersejarah bagi setiap pasangan pengantin. Debaran bergelar `raja sehari’ pasti menggamit memori indah sehingga ke akhir hayat.

Jika dahulu sebelum berkahwin, setiap aktiviti dilakukan bersendirian dan kini kemeriahannya lebih terasa apabila melakukannya berdua.

Seperti sambutan Ramadan dan Aidilfitri, kehangatannya semakin terasa setelah bergelar suami isteri.

Mana tidaknya, sekarang hendak berbuka pun kena fikir sajian yang sesuai untuk berdua, kemudian menunaikan terawih bersama.

Bagi Mohd Helmi Ahmad, 27, dan Fauziah Md. Mokhtar, 24, tahun ini merupakan Aidilfitri yang cukup bermakna buat mereka yang akan menyambutnya bersama buat kali pertama.

Kedua-duanya yang berasal dari Kedah akan menyambutnya dalam suasana yang sederhana.

“Persiapan yang kami buat ala kadar sahaja. Tetapi kami tidak lupa menyediakan kelengkapan raya dan pastinya kehadiran kami menjadi tumpuan keluarga masing-masing,” jelas Mohd Helmi.

Menurut pasangan yang melangsungkan pernikahan pada 1 September lalu, mereka berkesempatan beraya di kedua-dua buah rumah pada hari raya pertama.

“Kebetulan jarak rumah ibu dan bapa kami hanya 20 kilometer sahaja, jadi tidak ada masalah untuk kami balik kampung beraya.

“Awal pagi raya, kami akan ke rumah keluarga saya dahulu. Kemudian, kami akan pergi ke rumah keluarga Fauziah.

“Masa bujang dulu, baju lama pun tak kisah. Raya tahun ini meriah. Apa-apa pun kena fikir untuk pasangan kita dan kita tidak boleh hanya mementingkan diri sendiri,” ujar Helmi.

Perasaan yang sama turut dialami oleh pasangan Shahrul Zaman Lukman, 25, dan Siti Norbayah Sayuti, 25, yang memberitahu, tahun ini sambutan Aidilfitri dan Ramadan cukup meriah dan keadaan agak berbeza dengan kehidupan masa bujang dahulu.

“Puasa kali ini lebih meriah berbanding zaman bujang dulu. Amalan kali ini lebih terjaga, ada yang menasihati kita. Lagipun banyak yang dilakukan bersama, sembahyang terawih dan membaca al-Quran berdua,” jelas Siti Norbayah.

Menurut Shahrul, mereka beraya secara sederhana sahaja memandangkan mereka masih belajar lagi. Kedua-duanya merupakan pelajar Universiti Malaya. Shahrul yang merupakan pelajar sarjana dan Siti Norbayah yang bakal menamatkan pengajian sarjana mudanya pada tahun ini.

“Sementara itu, persiapan seperti pakaian dan kasut tiada masalah. Barang hantaran tempoh hari masih tidak digunakan lagi. Bolehlah kami memakainya pada hari raya nanti,” ujar Siti Norbayah.

Shahrul memberitahu, pada tahun ini mereka akan bergilir-gilir hari untuk balik beraya.

“Pada hari raya pertama, kami akan balik ke Melaka dan keesokannya harinya, kami balik ke Terengganu. Memandangkan kami pengantin baru, sudah pasti keluarga masing-masing menanti-nanti kehadiran kami,” ujar Shahrul.

Sementara itu, bagi Zul-Hilmi Sariffuddin dan Hazniza Saad, 26, Aidilfitri kali ini bakal disambut bersama-sama di kampung Hazniza yang terletak di Kampung Tanjung Besar, Paya Kulai, Temerloh, Pahang.

Pasangan yang baru dua bulan mendirikan rumah tangga ini, mengakui kehidupan semenjak berumah tangga mengajar mereka erti bertolak ansur dan hormat menghormati.

“Walaupun kami telah berkenalan sejak dua tahun yang lalu, tapi kami masih mempelajari hati budi masing-masing,” ujar Hazniza ketika ditemui di Seri Kembangan, Selangor, baru-baru ini.

Haniza menjalankan perniagaan barangan kraf tangan di Anhaz Creative Trading di Bukit Nanas, Kuala Lumpur.

Zul-hilmi dan Hazniza berasal dari Pahang, namun kini menetap bersama-sama keluarga Zul-Hilmi di Bandar Sungai Buaya, Rawang, Selangor.

“Pagi raya akan disambut di Sungai Buaya, pada sebelah petang baru kami akan bertolak ke Temerloh dan beraya di sana selama empat hari,” kata Zul-Hilmi pula.

Menurut mereka, perkara pertama yang akan dibuat sejurus tiba di Temerloh ialah menziarahi pusara ibu dan ayah Hazniza dan kemudian terus berkunjung ke rumah saudara mara di sekitar negeri Temerloh dan Pekan, Pahang.

1 ulasan:

UMMUSHIFA' berkata...

Artikel ni keluar lepas arwah ayah mertua meninggal..tapi masa interview, sebelum tu lagi..9/9/09 ni genap 3 tahun arwah ayah meninggalkan kami..Al-Fatihah..

Arwah Ayah : Haji Lukman bin HAji Ismail..

9/9/09 juga birthday Adik ipar..Nor Izzah..anak ayah yang bongsu...didoakan kecemerlangan dalam PMR tahun ni...insyaAllah