Khamis, Mac 26, 2009

Batuk


Sudah hampir sebulan batukku belum sembuh-sembuh. Ubat batuk yang dibekalkan Klinik Putrajaya sudah hampir licin aku hirupnya. Tetapi batukku tidak mahu kebah juga. Batuk ini kadang-kadang lambat sembuh. Makan masa juga hendak menjadi sediakala. Apabila kita batuk, fizikal kita menjadi tidak stabil. Asyik bergoyang-goyang ke hadapan menahan sakit batukkan. Mulalah dada akan sakit, tengkuk akan perit dan perut akan senak akibat menahan batuk daripada berterus-terusan. Mata mula berair-air dan menampakan jalur-jalur merah di putih mata. Selera makan pun menjadi kurang. Itulah bahana batuk.

Rasanya sekarang musim orang batuk.Bukan setakat aku sahaja yang batuk, Mat pun batuk, Wan Nik pun batuk, malah aku tengok siaran langsung ucapan Pak Lah dalam Perhimpunan Agung UMNO, Pak Lah pun batuk. Kalau orang no.1 Malaysia batuk, rakyat pun batuk juga.

Rakyat batuk kerana berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO di PWTC. Bahkan rakyat telah dibatukkan oleh UMNO sebelum itu lagi iaitu dengan membatukkan rakyat di padang awam Cinta Sayang Sungai Petani, Kedah. Sebelum itu surat khabar Harakah dan Suara Keadilan dibatukkan oleh KDN. Hal ini menyebabkan pihak pengurusan terbatuk-batuk mengenangkan selama 3 bulan akhbar mereka digamkan dan ada harapan kemungkinan akan dibatukkan selama-lamanya.

Rakyat semakin batuk apabila diumumkan Ketua Pemuda UMNO yang baru ialah Khairi Jamaluddin. Maka terbatuk kuatlah Mukhriz iaitu pesaing rapat bagi jawatan ini apabila tewas di kedudukan yang ketiga. Banyak andaian diketengahkan daripada kemenangan yang telah membatukkan sebahagian perwakilan pemuda UMNO. KJ menang kerana membatukkan sedikit habuan kepada perwakilan untuk menyokongnya. Perwakilan yang tidak dibatukkan oleh KJ akan mula terbatuk-batuk kerana tidak berjaya memenangkan calon mereka. Apapun, UMNO suka batuk dan membatukkan rakyat.

Batuk lagi. Sayup-sayup dengar Mat batuk juga... Hari ini Pak Lah memberikan ucapan terakhir sebagai Presiden UMNO. Ucapan yang kadangkala terganggu dengan batuknya tidak menghalang Pak Lah menamatkan ucapan. Selepas ini Najib akan menjadi Prsiden UMNO. Sudah ada tanggapan bahawa, batuk kepunyaan Najib lebih keras daripada batukkan Pak Lah. Lihatlah apa yang telah dibuatnya di Perak. Semua rakyat Perak terbatuk tanpa boleh diubati lagi apabila Najib dengan selamba melepaskan batuk tanpa menekup mulutnya sehingga rakyat terkena lendir-lendir batukkannya. MB Nizar masih mempunya imuniti kuat menepis batuk Najib dan sekarang akan mengubati rakyat Perak yang kesakitan dek batukkan Najib dengan menjadi calon Bukit Gantang. Semoga semua sakit-sakit batuk kita sembuh sediakala.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Hmmm... Tak faham la entry kisah pasal batuk ni.. Mendalam sangat.. Orang yang betul2 hadam politik je boleh faham barangkali..

Tanpa Nama berkata...

Cuba amik madu asli satu sudu, perah limau nipis(bukan limau kasturi)
Makan...Cuba deh