Selasa, Mac 24, 2009

Sorotan Hari Ini




Hari ini ada beberapa peristiwa baik dan peristiwa buruk. Banyak yang buruk untuk rakyat. Pertama, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan menggantung akhbar Harakah dan Suara Keadilan selama 3 bulan. Penggantungan tanpa sebab menampakkan lagi kelemahan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional dalam mengurus tadbir negara dengan baik. sudah pasti ini melangkaui good governance yang cuba dibawa oleh kerajaan. Urus tadir yang baik apakah ini, sekiranya seseorang dihukum tanpa dimaklumkan apakah kesalahannya? Seseorang yang diberhentikan kerja sudah tentu akan dimaklumkan apakah kesalahannya. Begitu juga apabila seorang guru memarahi pelajarnya disebabkan pelajar itu tidak menyiapkan kerja sekolahnya. Tetapi Menteri KDN yang sudah berpengalaman dalam urus tadbir tidak mahu memahami falsafah ini apabila emosi menguasai tindakan. Sudah tentu, orang melihat penggantungan ini disebabkan ada hubung kait dengan 3 pilihanraya kecil yang berlaku serentak dan berlangsungnya perhimpunan Agung UMNO. Apabila lidah rasmi dikerat mereka fikir Pakatan Rakyat sudah kehilangan medium terbaik untuk menyalurkan maklumat. Ya sedikit sebanyak penggantungan ini merencatkan sedikit informasi terus dan telus kepada rakyat. Sudah pasti, jentera pakatan rakyat di 3 kawasan pilihanraya kecil ini perlu berusaha keras untuk menyampaikan maklumat kepada para pengundi. Mungkin akan terkesan kepada masyarakat kampung tetapi masyarakat bandar akan mencari informasi alternatif melalui internet bagi mendapatkan maklumat yang dikehendaki. Walaubagaimanapun, saya yakinp ihak Harakah dan Suara Keadilan akan berusaha untuk mengembalikan pengeluarannya seperi biasa atau mungkin boleh dirujuk kepada Mahkamah.

Kedua, polis digunakan lagi kali ini. 50 das tembakan dan semburan air berasid dihalakan kepada orang ramai yang berada di tempat ceramah ketika DS Anwar Ibrahim baru memulakan ceramahnya di padang awam Cinta Sayang Sungai Petani, Kedah. 20 orang ditangkap. Atas kesalahan apa mereka ditangkap? Merusuh, melakukan aksi kelucahan melampau, menghina nabi atau hanya menghadiri ceramah di negeri pakatan rakyat? Adakah ini kerja overtime polis atas arahan menteri KDN lagi? Cukup-cukuplah kerajaan membuat kerja yang membuatkan rakyat semakin hari semakin menggunung membenci Umno dan Barisan NAsional. Sepatutnya Umno membuat post morterm kenapa rakyat semakin menjauhkan diri dengan mereka dan bukannya merangka strategi bagaimana mahu menjauhkan rakyat dengan Umno. Semakin dekat dengan Perhimpunan Agung UMNO, semakin galak mereka menyondol-nyondol rakyat dengan water canon dan gas pemedih mata. Umno harus faham bahawa mereka ini sudah kental jiwa dan tidak berpatah balik menyokong UMNO bahkan semakin membuak-buak kebencian mereka kepada Umno.

Ketiga, cerita di Perak semakin menarik. Setelah rampasan kuasa, turun naik mahkamah, pemergian YB Roslan, pilihanraya kecil Bukit Gantang, persidangan bawah pokok, plak dipecahkan, lelongan plak yang melebihi RM40k, dan kini DS Ir Mohd Nizar dicalonkan untuk Pilihanraya Kecil Bukit Gantang. Tahun ini adalah tahun mengenali negeri Perak dan tokoh baru politik tanah air. DS Nizar agak terkenal tahun ini dan rasanya rakyat Perak suka disinonimkan dengan beliau. Apa tidaknya, seorang Menteri Besar yang berkebolehan banyak bahasa, segak, berketrampilan kemas, disenangi semua kaum dan macam-macam lagi. Kemudian PAS memberi kepercayaan kepada beliau untuk bertanding di Bukit Gantang. Seorang Menteri Besar bertanding di kawasan Parlimen yang akan menentang calon Umno iaitu Ismail Saffian, 49. Andai benar kajian beberapa pihak, calon PAS akan memenangi pilihanraya kecil Bukit Gantang ini.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

smg kemenangan hakiki utk mujahidin agama..! smg kemenangan utk Ir. Nizar! takbir..ALLAHUAKBAR!