Selasa, Februari 17, 2009

3 Bukit.. Apakah mood anda


Kes Elizabeth Wong mengundang pelbagai persepsi . Beberapa blog penyokong BN/UMNO terus menghangatkan isu ini dengan masalah sosial dan tidak bermoral. Desakan-desakan perletakan jawatan Elizebert Wong terus ditagih. Elizabeth Wong telah mengumumkan bahawa beliau bersedia untuk melepaskan semua jawatanannya dan kemungkinan 1 bukit lagi akan berlaku pilihanraya kecil. Manakala cakap-cakap pimpinan Pakatan rakyat masih berlapik untuk tidak mengulas secara detail isu ini sehingga ianya benar-benar disahkan.

Semakin hampir kepada Pemilihan Agung UMNO, kita menyaksikan semakin ligat isu-isu yang wujud. Bermula dengan peralihan kuasa di Perak disebabkan kebekuan pemikiran YB Behrang, Changkat Jering dan Jelapang yang meleraikan ikatan dengan parti masing-masing. Kemudian, tekanan demi tekanan diterima oleh Arumugan ADUN Bukit Selambau atas isu seksnya yang membawa kepada pilihnaraya kecil di sana. Selepas itu, serangan kepada Karpal Singh di atas tindakannya mahu menyaman SUltan PErak dan dikategorikan sebagai penderhaka. Isu-isu ini sedikit sebanyak memberi tekanan kepada Pakatan Rakyat.

Di Selangor, nampaknya Khir Toyo mula mahu menjadi pejuang melayu dan penyelesai kemelut dengan penghantaran memorandum. Kemudian polemik polis menahannya kerana menganjurkan demonstrasi . Selepas itu terus mendesak ADUN Bukit Lanjan lepaskan jawatan exco kerana terlibat kes salah laku seks. seolah-olah Khir Toyo membuat ini semua kerana AGM UMNO sudah hampir dan inilah peluang untuk menonjolkan diri.

Isu-isu sekarang amat berguna kepada UMNO terutama Najib untuk menyerang Pakatan Rakyat dan mengukuhkan personalitinya yang akan naik sebagai Presiden UMNO nanti. Sudah tentu pilihanraya kecil Bukit Gantang, isu derhaka kepada Sultan akan diputarkan. Di Bukit Selambau isu moral akan dimainkan. Manakala andai terjadi pilihanraya kecil di Bukit Lanjan, isu moral ahli PKR juga akan dimanipulasikan. Sebelum ini ADUN PKR Pelabuhan Klang juga dikaitkan dengan keluar parti dan kes khalwat. Bahkan sebelum daripada itu juga, Exco Selangor Dr Halimah cuba dikaitkan dengan kes khalwat.

Daripada beberapa isu yang berlaku kini, seolah-olahnya sudah ada grand design untuk melemahkan Pakatan Rakyat. Satu persatu isu dicipta dan dilaksanakan. Oleh itu, berhati-hatilah semua YB-YB Pakatan Rakyat, anda sekarang diperhatikan dan segala tindak tanduk anda dijadikan modal untuk diserang. Kisah-kisah buruk silam anda mungkin akan didedahkan untuk kepentingan pihak tertentu. Atau mungkin anda juga menjadi mangsa seperti apa yang berlaku kepada Elizabeth Wong. Apa yang penting bagi UMNO/BN ialah menganggu kerja-kerja YB dan adakan pilihanraya kecil berlaku. Walau bagaimanapun, penentunya ialah rakyat dalam pilihanraya kecil nanti. Sama ada anda termakan dengan isu yang berlaku atau anda masih menaruh keyakian Pakatan Rakyat akan mengambil alih kepimpinan negara. Para petugas parti sudah sentiasa bersedia untuk melakukan kerja-kerja pilihanraya dan memenangkan calon yang akan diumumkan nanti. Kita tunggu dan lihat.

Tiada ulasan: