Jumaat, Januari 25, 2008

MANIFESTO PILIHANRAYA UMUM KE-12 BARISAN ALTERNATIF SELANGOR


MANIFESTO PILIHANRAYA UMUM KE-12

BARISAN ALTERNATIF SELANGOR

TAWARAN KAMI SEKIRANYA DIPILIH

BA (Barisan Alternatif) Selangor adalah pakatan Parti Islam Se Malaysia (PAS) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi mendukung cita-cita dan aspirasi dengan cogan kata:

Membela dan berkhidmat untuk rakyat;
Sedia mentadbir Negeri Selangor.


Tema perubahan yang dibawa oleh BA Selangor adalah:

Selangor Bersih, Maju dan Berkebajikan


Tonggak tawaran BA Selangor merangkumi bidang-bidang ekonomi, kebajikan, kesihatan dan keselamatan rakyat.

BA yakin bahawa negara ini kaya dengan pelbagai sumber terutamanya minyak dan gas. Malangnya kekayaan ini tidak dapat dinikmati seperti sepatutnya oleh rakyat jelata.

Di atas keyakinan ini, langkah pertama yang akan dilakukan oleh BA jika diberi kepercayaan untuk mentadbir kerajaan adalah menurunkan harga minyak dan gas. Kesan segera yang bakal berlaku adalah kawalan terhadap kenaikan harga barang. Harga barangan dan perkhidmatan yang murah sudah pasti akan memberi nikmat langsung dan merata kepada rakyat.

Pada masa yang sama, BA Selangor yakin bahawa Selangor adalah sebuah negeri yang kaya dengan pelbagai sumber dan hasil pendapatan.

Pengurusan kekayaan negeri yang tidak berhemah dengan berlakunya pelbagai pembaziran telah menafikan rakyat nikmat yang sepatutnya mereka kecapi. Akibatnya rakyat terpaksa menanggung kos sara hidup yang terlalu tinggi dan membebankan.

Kesan daripada jurang ekonomi yang semakin meruncing telah mewujudkan pelbagai gejala sosial dan berlakunya jenayah yang berleluasa.

Jika dipilih, kami mampu mentadbir kekayaan dan sumber negeri bagi melonjakkan kualiti hidup dan taraf ekonomi seluruh lapisan rakyat negeri ini. Melalui pentadbiran bersih dan berkebajikan, kekayaan negeri akan dikembalikan kepada rakyat yang berhak menerima manfaat dan faedah daripada kemajuan negeri.

Melalui dasar dan pelaksanaan pentadbiran beramanah, kami akan memberi khidmat cemerlang dengan mengurangkan kos sara hidup bagi membolehkan rakyat mendapat manfaat berlipat ganda daripada hasil dan sumber kekayaan negeri.

Dengan itu tawaran-tawaran kami adalah:

Pentadbiran:

· Memastikan Exco dan ADUN sentiasa bersih daripada penyelewengan sepanjang perkhidmatan.

· Menubuhkan badan khas untuk menyiasat segala penyelewengan yang berlaku berkaitan pentadbiran tanah dan sumber-sumber negeri.

· Memberhentikan projek-projek membazir yang merugikan dan tidak memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.

Sosial dan Kebajikan Rakyat:

· Memberi hadiah sebanyak RM1,000 seorang kepada setiap anak Selangor sebaik menerima tawaran kemasukan ke mana-mana institusi pengajian tinggi.

· Memberi bantuan atau biasiswa menurut merit kepada anak Selangor di semua peringkat pendidikan.

· Membuka tabung permulaan bernilai RM100 bagi setiap kelahiran anak Selangor.

· Memberi pendidikan pra-sekolah percuma kepada anak Selangor berusia 5-6 tahun.

· Mengurangkan bebanan ibu bapa yang menghantar anak-anak ke nurseri tanpa had bilangan dengan memberi subsidi antara RM50 – RM100 seorang.

· Mencarumkan skim perlindungan insurans (takaful) warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan anak yatim.

· Memberikan elaun ibu tunggal yang layak menurut tanggungan masing-masing.

· Memberi elaun khas antara RM150 – RM250 sebulan untuk wanita tanpa pekerjaan tetap yang memilih untuk menjadi suri rumah bagi menjaga anak-anak kecil mereka (di bawah 12 tahun).

· Memastikan setiap keluarga memiliki sebuah rumah dalam skim perumahan rakyat.

· Mewujudkan institusi untuk menyelaraskan hal-ehwal agama selain agama Islam demi mewujudkan perpaduan dan persefahaman antara kaum dan agama.

Kesihatan Rakyat:

· Memberi cuti bergaji selama 90 hari bagi wanita bersalin (kakitangan kerajaan negeri).

· Memberi cuti selama 14 hari kepada suami (kakitangan kerajaan negeri) bagi menjaga isteri yang baru bersalin.

· Memberi cuti bergaji selama satu bulan bagi wanita (kakitangan kerajaan negeri) yang kematian suami.

· Memberikan perkhidmatan perubatan di hospital kerajaan dan pengangkutan awam percuma kepada semua warga emas berusia 65 tahun ke atas.

Ekonomi Rakyat:

· Memudahkan dan mempercepatkan kelulusan dan pembaharuan lesen perniagaan.

· Mengurangkan cukai pintu rumah kediaman sebanyak 20% dan cukai premis komersial sebanyak 10%.

· Membela kehidupan rakyat miskin terutama petani dan nelayan bagi memperolehi pendapatan minimum RM1,200 sebulan.

Keselamatan Rakyat:

· Menguatkuasa dan memantau projek-projek pembangunan agar mematuhi syarat-syarat perlindungan alam sekitar bagi mengelakkan kejadian seperti tanah runtuh dan banjir.

· Mengkaji semula sistem Rukun Tetangga untuk diganti dengan sistem baru yang lebih berkesan di bawah penyeliaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

· Mewujudkan pusat khidmat sehenti bagi menangani kes-kes jenayah dan keganasan terhadap wanita.

Kami akan menyemak semula prestasi syarikat-syarikat rugi yang selama ini ditanggung oleh kerajaan negeri. Projek-projek mewah yang hanya memanfaatkan kroni politik akan dihentikan.

Bagi kami kepimpinan adalah satu amanah. Ia bukannya peluang bagi mana-mana pemimpin untuk merebut kekayaan bagi diri, kroni-kroni dan keluarganya sendiri dengan terus meminggirkan rakyat.

Sumber kekayaan dan hasil pendapatan Negeri Selangor adalah hak seluruh rakyat. Ia bukannya hak milik mana-mana pemimpin. Pemimpin hanya menguruskan sumber-sumber ini bagi pihak rakyat yang memilih mereka.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

DULU PERCAYA,SEKARANG TIDAK LAGI.

Tanpa Nama berkata...

Mmg x b0leh dpcyai