Selasa, Oktober 23, 2007

resolusi multaqa al-wi'az

  • Kehebatan umara' dan ulama ketika era keagungan tamadun Islam hendaklah diteladani dengan penuh bermakna. Kemantapan ilmu, keunggulan personaliti dan penguasaan pelbagai bahasa memudahkan mereka menerokai khazanah ilmu dan seterusnya melakukan inovasi gemilang.

  • Umara', ulama dan ahli korporat perlu bergandingan dalam menghadapi sebarang gejala kejahilan yang menyebabkan reputnya akidah dan akhlak umat Islam, di samping bertindak secara kolaboratif untuk mengembalikan semula keunggulan umat Islam.

  • Multaqa Al-Wi'az menggesa ahli agama supaya menjadi pasukan penggerak berwibawa, bersifat kontemporari dan tidak terperangkap dalam zon selesa agar mereka menjadi modal insan yang berperanan aktif dan dinamik ke arah pembangunan negara yang menyeluruh.

  • Ahli agama perlu mengkaji kelemahan sendiri agar dapat digariskan pelan tindakan strategik bagi mengatasi permasalahan dalaman dan luaran yang dihadapi umat Islam hari ini.
  • Ahli agama hendaklah menguasai pelbagai bidang ilmu dan kemahiran supaya supaya dapat dikembalikan semula kehebatan imej ahli agama yang dilihat sebagai penyumbang utama kepada peradaban dan tamadun ummah ketika era kegemilangannya.

  • Metodologi dakwah mesti dikaji semula dan dipelbagaikan menerusi inovasi dan kreativiti supaya ia sesuai dengan perubahan semasa yang berlaku di persekitaran manakala strategi yang dipraktikkan benar-benar berkesan dan berjaya menarik minat masyarakat khususnya remaja dan belia.

  • Tugas besar dakwah pada hari ini ialah menghidupkan ruh ad-din dalam masyarakat. Pendekatan dakwah bil hal perlu dipergiatkan dalam perspektif yang lebih luas bagi merealisasikan ruh ad-din.

  • Semua pihak digesa agar mengatasi gejala yang melumpuhkan ruh aldin iaitu kejahilan, perhambaan kepada nafsu, takbur, riak, malas dan lemah pemikiran.

  • Perkembangan semasa menuntut ahli agama dan pendakwah supaya menguasai pengetahuan syariat dan kauniyah, tradisi dan kontemporari di samping pemikiran moden dan nilai profesionalisme supaya tidak terasing dalam perkembangan kemajuan semasa.

  • Kurikulum pengajian di institusi pengajian tinggi mesti dikemaskini semula supaya dapat melahirkan pendakwah unggul. Aspek teori dan amali perlu diberi penekanan secara komprehensif dan seimbang.

  • Keyakinan yang tinggi dan kemantapan spiritual berdasarkan Al-Quran dan Sunnah yang digabungkan dengan penguasaan ilmu syariat dan kauniyyat, tradisi dan kontemporari akan melahirkan pendakwah/ahli agama yang mampu menangani perubahan.

  • Rangkaian hubungan sosial sejagat yang berterusan berpandukan Al-Quran dan Sunnah perlu dijalinkan di kalangan ahli agama supaya kita dapat melaksanakan misi dakwah dengan mantap dan berjaya.

  • Pentingnya usaha ke arah keseimbangan pembangunan rohani dan jasmani kerana keseimbangan rohani dan jasmani yang berpaksikan sumber Islam tulen boleh memberi keyakinan ke arah mewujudkan modal insan yang sempurna.

  • Multaqa Al-Wi'az juga mencadangkan supaya satu badan yang bertanggungjawab untuk memberi kesedaran dan pembaharuan khususnya rohani kepada masyarakat terutama generasi muda perlu diwujudkan.
  • 3 ulasan:

    Tanpa Nama berkata...

    shahrul, enta sorang dari badge kita yang blogging, orang lain takde ke. Nak juga ana tau perkembangan diorang

    abushifa' berkata...

    apa khabar? lama tak dengar berita? setakat ni la tak pasti lagi yang ada blog. enta ada blog? mana jumpa blog ana ni?

    Tanpa Nama berkata...

    alhamdulillah baik. ana ada cuma bertapa skit2 :). Ana tak roll out lagi blog, belum ada masa. ana jumpa blog anta ni masa tgh cari cerita pasal pilihanraya kampus ari tu. Masih tak berjaya lagi ye adik-adik kita nak ambik balik MPP. Kena kerja kuat lagi ni