Jumaat, Januari 23, 2009

Khubaid bin 'Adi; Syahid di Tana'im

Satu ketika telah datang kepada Rasulullah s.a.w kabilah-kabilah ‘Udhol dan juga Qarah menceritakan kepada Rasulullah s.a.w bahawa mereka telah mendapat berita Islam tetapi tidak ada orang yang mengajar mereka.Lalu Rasulullah s.a.w telah mengutuskan kepada mereka satu rombongan daripada kalangan para sahabat untuk mengajar mereka tentang Islam. Di antara sahabat yang terlibat ialah Mirsad bin Abi Mirsad, Khalid bin Biq, ‘Asim bin Thabit, Khubaid bin ‘Adi, Zaid bin al-Dathnah dan Abdullah bin Thoriq. Rasulullah telah melantik ketua di kalangan mereka bernama Amir bin Thabit.

Dalam perjalanan menuju ke kabilah tersebut, mereka telah diserang hendap oleh kafir Quraisy. Ada di antara mereka yang mati syahid dan ditawan. Mereka yang ditawan ialah Khubaid bin ‘Adi. Lalu diutuskan bahawa Khubaid bin Adi hendaklah dibunuh. maka, dikumpul seluruh manusia di Tana’im untuk menyaksikan pembunuhan kejam itu sebagai satu tanda kebencian kepada Muhammad s.a.w. Ketika Khubaid menghadapi kematiannya, kisah ini telah diceritakan oleh Said bin Amir yang ketika itu seorang kafir dan telah memeluk Islam selepas menyaksikan peristiwa itu.

Ketika seluruh orang sedang berkumpul, Khubaid telah berkata kepada pembesar-pembesar Quraisy, “Sekiranya kalian inginkan untuk membenarkan aku rukuk dua rakat, maka kalian boleh berbuat demikian”. Permintaannya diberi keizinan lalu dia menghadap kiblat dan bersembahyang dua rakaat. Said mengatakan “Alangkah cantiknya dua rakaat itu, dan alangkah sempurnanya dua rakaat itu”.

Kemudian, setelah selesai solat dia berpaling kepada pembesar Quraisy sambil beteriak, “Demi Allah, jikalau kalian menyangkakan panjangnya solatku tadi disebabkan aku takut kepada kematian, nescaya aku akan memperbanyakkan lagi solatku”. Said menceritakan lagi, disebabkan ucapan itu, dia melihat bagaimana kaumnya telah menyeksa Khubaib dengan memotong badan Khubaid sekerat demi sekerat. Kemudian ditawarkan kepada Khubaid satu tawaran yang menghinakan, “Inginkah kiranya kami bebaskan kamu untuk pulang kepada anak dan isterimu, tetapi hendaklah Muhammad menjadi galang ganti?” ketika darah keluar memancut daripada tubuhnya, dia menjawab dengan penuh yakin “Wallahi, aku tidak redha sama sekali untuk balik bersenang-senang bersama dengan anak isteriku sedangkan Muhammad ditusuk dengan duri”.

(disampaikan oleh ustaz Ridhuan Ismail)

Tiada ulasan: